| Memperkasakan Kredibiliti Badan Integriti - SPRM |
|
Oleh : Mohd Nazree Mohd Yunus
Dalam perkembangan mutakhir ini masyarakat kita sudah mengangkat darjah keprihatinan mereka terhadap persoalan integriti dan pembentukan Good Governance. Sudah pasti keadaan ini memerlukan perincian yang teliti dalam melihat apakah yang dimaksudkan sebagai integriti dalam konteks yang lebih holistik. Sikap serta kondisi perspektif pemikiran integriti rakyat Malaysia ini perlu dipupuk dalam landasan pengetahuan yang mengakar kukuh asasnya agar apa-apa sahaja konteks perbincangan berkaitan ketelusan, keadilan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran dapat dibincangkan secara matang dan profesional. Namun, kita juga wajar mencermati bahawa perspektif integriti ini akan lebih mampu diterjemahkan dalam konteks pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan jika proses pemilihan kepimpinan baik dalam konteks penjawatan awam, institusi integriti, politik, dan sektor korporat dilakukan dengan penuh transparen dan telus. Sistem birokrasi perlantikan penjawatan awam, swasta dan apatah lagi bagi sebuah badan integriti seumpama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah amat perlu melalui suatu bentuk sistem lantikan yang secara optimum bersifat terbuka, penuh integriti dan dipercayai kredibilitinya. Jika di Indonesia, perlantikan kepimpinan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) sebuah badan anti rasuah di sana adalah perlu melalui Parlimen. Menurut Fasal 29, Undang-Undang Nombor 30 tahun 2002 tentang Komisi Pemberantasan Tindak Pidana Korupsi dengan jelas menyebut bahawa mana-mana kepimpinan yang mahu dilantik menganggotai KPK adalah perlu dipilih oleh Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia berdasarkan calon yang diusulkan oleh Presiden Republik Indonesia. Dalam keadaan yang sama di Malaysia, perlantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga boleh dilantik dengan menggunakan pendekatan yang sama seumpama itu. Bagi meletakkan nilai kebebasan dan kredibiliti SPRM dipertingkatkan, Perdana Menteri boleh mencalonkan mana-mana individu yang berintegriti dan berkaliber untuk dipilih dan ditapis oleh Dewan Rakyat ataupun Parlimen Malaysia. Ini akan memberikan suatu bentuk keadilan dan nilai kebertanggungjawaban yang lebih tinggi dalam konteks perlantikan tersebut. Justeru, kaedah pemilihan seumpama ini berbeza dengan kaedah pemilihan sedia ada yang secara ringkasnya dapat disebut bahawa Perdana Menteri boleh mencalon dan mempersembahkan nama cadangan Ketua Pesuruhjaya SPRM langsung kepada Yang Dipertuan Agong. Tambahan nilai integriti berkaitan perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang kita mahukan adalah ianya perlu melalui tapisan Parlimen. Calon-calon Ketua Pesuruhjaya yang mahu dicalonkan oleh Perdana Menteri juga harus dipilih melalui sebuah Panitia Seleksi yang dibentuk terdiri daripada anggota kerajaan, pembangkang dan juga termasuk wakil masyarakat seperti badan bukan kerajaan yang berkaitan (NGO). Kita juga boleh meletakkan asas-asas kriteria tambahan bagi calon-calon Ketua Pesuruhjaya SPRM seumpama calon tersebut perlulah melepasi pemilihan oleh Panitia Seleksi. Kemudiannya Panitia Seleksi mengumumkan nama-nama calon yang tersenarai untuk mendapatkan tanggapan umum atau masyarakat. Selepas Panitia Seleksi mendapat maklum balas daripada masyarakat berhubung profil calon-calon. Maka barulah dipersembahkan nama-nama senarai pendek calon-calon Ketua Pesuruhjaya kepada Perdana Menteri untuk dibawa ke Parlimen. Menjadi tanggungjawab ahli-ahli Parlimen membahaskan kelayakkan seseorang calon untuk menjawat jawatan penting sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Nama calon yang diluluskan oleh Parlimen kemudiannya boleh dibawa Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong bagi memohon perkenan menerajui suruhjaya bebas tersebut.. Kita percaya bahawa jika methodologi pemilihan atau seleksi seumpama ini dilaksanakan bagi memilih Ketua Pesuruhjaya badan integriti seperti SPRM. Mahu tidak mahu sedikit sebanyak kita boleh memperakui serta mengiktiraf sistem perlantikan yang bersifat teliti dan telus ini. Ketelusan itu akan hadir dicelah-celah perlaksanaan sistem yang bersih dan diiktiraf. Rangka bagi mewujudkan masyarakat yang adil, makmur dan sejahtera adalah berasaskan kepada sejauhmana fungsi kerajaan itu dapat dijalankan secara berintegriti. Penubuhan SPRM tepat pada masanya, namun individu yang menerajui SPRM perlulah lebih putih daripada putih anggota masyarakat biasa. SPRM mampu berfungsi sebagai sebuah badan semak dan imbang integriti perlaksanaan dasar-dasar kerajaan. Atas asas inilah kita melihat keperluan perlunya sistem pemilihan yang progresif dan berkredibiliti bagi melantikan pimpinan tertinggi SPRM. Imej serta maruah suruhanjaya bebas ini tidak boleh dihancurkan dengan kesilapan kita memilih peneraju yang longgar asas integritinya serta boleh dipersoal kredibilitinya oleh masyarakat. Kaedah perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan pimpinannya amat perlu untuk digazetkan secara teliti dan lengkap di dalam akta atau undang-undang di Malaysia. Pendekatan ini sesungguhnya sesuai sebagai suatu bentuk proses pemerkasaan terhadap kredibiliti SPRM. Pembanterasan rasuah perlu dilakukan secara profesional, intensif dan berkesinambungan kerana rasuah secara konsisten telah merugikan kewangan negara, perekonomian negara dan menghambat pembangunan nasional.
Mohd Nazree Mohd Yunus Pengerusi GERAK Malaysia
|
Berita Terkini
- Nie Ching Patuh Amaran Larang Masuk Masjid Oleh MAIS
- Azmin Ada 'Kunci' Rahsia Anwar
- Hudud Tidak Semestinya Dilaksana – PAS
- Perkara 153 : Siasatan Terhadap Nurul Izzah Ke Peguam Negara
- Lapor Berita Berasaskan Fakta - Najib
- Zahrain Dakwa TMI Ada Kaitan Dengan Bendera
- Nasharudin Ketua Delegasi PAS Bincang Isu Dengan Pemimpin Indonesia
- Pendirian Anwar, PKR Berubah-Ubah
- Melayu Perlu Tegas - Khairy
- Gelaran Liong Sik, Oi Chooi Digantung
- Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal 8 September
- Musa Hassan Tamat Kontrak