Isnin, 06 September 2010
Iran Sahabat Kami - PM Turki
Selasa, 08 Jun 2010 02:50

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan tidak menafikan hubungan antara Turki dan Iran semakin rapat dan baik. Kenyataan tersebut dibuat menerusi satu wawancara dengan akhbar British, The Guardian. Erdogan menjelaskan bahawa hubungannya dengan Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Iran adalah seperti seorang sahabat.

Hubungan tersebut disifatkan Israel sebagai satu tindakan yang cuba menjarakkan negara tersebut dengan Israel. Erdogan mempertahankan polisi nuklear yang dibangunkan oleh republik Iran itu kerana ia bertujuan untuk kepentingan tenaga semata-mata bukannya sebagai satu senjata yang merbahaya.

Perdana Menteri Turki itu akan melawat Iran minggu ini dan akan bertemu dengan Ahmadinejad dan juga pemimpin utamanya, Ayatullah Ali Khamenei. Pertemuan itu dijangka akan membincangkan mengenai hubungan ekonomi antara kedua-dua negara tersebut yang mana telah melonjak naik sehingga mencecah lebih kurang 9 bilion dollar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Erdogan dengan tegas menyatakan pendiriannya yang tidak akan sama sekali mencampuri urusan dalaman negara revolusi itu terutamanya yang melibatkan dakwaan penyelewengan yang dilakukan oleh penggerak-penggerak pro pembaharuan.

Apabila ditanya mengenai hubungan Turki dan Israel, beliau menjelaskan bahawa hubungan kedua-dua negara itu masih sebagai sekutu strategik. Namun, beliau mengutuk Israel yang dikatakan akan menggunakan serangan nuklear ke atas Gaza.