Sabtu, 04 September 2010
UMNO Perlu Sertai PAS Untuk Masa Depan Negara
Ditulis oleh admin   
Rabu, 21 Julai 2010 03:06

tanta_0036
KUALA LUMPUR, 21 Julai - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menyarankan agar PAS dan UMNO mewujudkan pelan damai atas nama Islam bagi meleraikan segala kekusutan dan persengketaan selama ini. Beliau menulis cadangan ini melalui blognya,
http://episodeperjuangan.blogspot.com. Tokoh pemimpin muda yang berjiwa besar ini mahukan supaya masyarakat Melayu di Malaysia dapat menghentikan percakaran dan bersatu atas nama Islam supaya musuh-musuh agama tidak mengambil kesempatan atas perpecahan ini.

Beliau menyeru parti pimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak untuk bersama-sama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu agar kita dapat membina sebuah negara yang aman, makmur, sejahtera, adil, telus dan saksama.

Nasrudin juga terkilan dengan pelbagai agenda negara seperti pendidikan, pentarbiyyahan diri dan masyarakat, pembinaan tamadun, pertumbuhan ekonomi dan pemulihan gejala sosial yang tergendala akibat daripada pergeseran yang lebar serta memakan masa berpuluh tahun lamanya.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan dalam konteks sebuah keluarga, sudah tentu mempunyai ahli kepada berlainan parti. Beliau menulis, "seorang ahli UMNO pasti sahaja memiliki ahli keluarganya yang menjadi ahli PAS dan demikian sebaliknya". Keharmonian dalam sebuah keluarga juga boleh terjejas kerana perselisihan politik.

Bagi menjayakan agenda pelan damai ini, beliau meminta agar semua pihak dapat mengorbankan perasaan dan kemahuan untuk bertolak ansur mencari noktah damai dan gencatan senjata. Ia mengingatkan bahawa perkara ini sama seperti kaum Aus dan Khazraj yang bersatu atas Tali Allah yang diseru oleh Nabi Muhammad SAW. Malah, meskipun PAS dikatakan mempunyai sejarah silam yang memeritkan bersama UMNO seperti peristiwa dalam Parti Perikatan, isu Memali, kerajaan Kelantan dirampas dan ramai pemimpin PAS disumbat ke dalam ISA, PAS harus mengenepikan sejarah dan melaksanakan tuntutan menyatupadukan umat Islam di Malaysia. -ANN