Sabtu, 04 September 2010
Halangan Terhadap Kerjasama UMNO Dan PAS - Ahmad Maslan
Ditulis oleh admin   
Rabu, 21 Julai 2010 03:41

amPUTRAJAYA, 21 Julai - Ketua Penerangan UMNO Malaysia, YB Datuk Haji Ahmad Bin Haji Maslan menyokong penuh isu perpaduan yang hangat diperkatakan di media massa yang membabitkan dua parti komponen orang Melayu dan Islam iaitu UMNO dan PAS. Beliau melahirkan rasa persetujuan tersebut dalam temubualnya bersama Alternatif News Network (ANN) pagi  semalam.

Ahmad Maslan menegaskan bahawa perpecahan itu tidak pernah mendatangkan keuntungan manakala perpaduan itu pula tidak akan merugikan mana-mana pihak. Selain itu, beliau juga menafikan bahawa pandangan-pandangan yang mendakwa UMNO tidak kukuh seperti dulu menyebabkan isu kerjasama dan perpaduan ini terpaksa dimainkan semula.

"Persetujuan UMNO tentang  isu perpaduan ini tidak wajar dilihat sebagai lemah kerana UMNO masih lagi memerintah cuma tidak mendapat 2/3 majoriti sahaja", tegas beliau.

Kesepakatan UMNO dan PAS dalam isu-isu sejagat dilihat sebagai sesuatu yang positif bukan saja kepada Melayu  tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya. Oleh kerana itu, beliau mengingatkan adalah tidak wajar bagi masyarakat bukan Islam khususnya untuk berasa khuatir sekiranya impian ini direalisasikan kerana ia akan menguntungkan semua pihak.

Selain itu, beliau berpendapat, terdapat dua halangan yang memungkinkan isu perpaduan ini tidak dapat direalisasikan. Pertama, beliau mendakwa terdapat beberapa orang Anwar dalam PAS yang tidak menyokong perpaduan ini. Manakala yang kedua, beliau melihat Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak konsisten dalam memberikan pandangan untuk berdialog dengan UMNO sepertimana yang dicadangkan oleh Timbalan Presiden parti itu baru-baru ini. Beliau tidak menolak kemungkinan, terdapat beberapa orang disekililing beliau yang memberikan pandangan yang berbeza mengenai isu berkenaan -ANN