Sabtu, 04 September 2010
Jangan Ikut Rentak Media Perdana - Nasharudin
Ditulis oleh admin   
Rabu, 21 Julai 2010 05:19

nasa
KUALA LUMPUR, 21 Julai - Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menasihatkan semua pimpinan dan ahli PAS agar jangan terikut-ikut rentak media arus perdana yang sering memainkan isu kerjasama dan perpaduan antara parti PAS dan UMNO. Beliau mengulas perkara yang menjadi topik utama dalam media kebelakangan ini.

Dalam kenyataannya, beliau juga melihat trend yang dilakukan oleh pihak media arus perdana yang mengambil pandangan-pandangan daripada beberapa pimpinan PAS diperingkat pusat, negeri dan kawasan sehingga ia boleh mengelirukan ahli PAS khususnya dan masyarakat di Malaysia amnya.

Beliau juga percaya bahawa media telah memainkan agendanya sehingga menimbulkan pelbagai persepsi baru sehingga boleh merapuhkan wehdah atau kesatuan dalaman PAS sendiri.

Beliau menegaskan bahawa PAS masih lagi berpegang dengan ketetapan-ketetapan yang dibuat dalam muktamarnya yang lalu. Malah, beliau juga berharap agar semua pimpinan dan ahli dapat memfokuskan gerak kerja untuk mendepani Pilihanraya Umum Ke-13 bagi membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang baru.

Sementara itu, beliau juga menyeru semua ahli agar dapat melipatgandakan usaha untuk menambahkan keahlian baru PAS serta memantapkan organisasi diperingkat kawasan dan cawangan.

Beberapa hari lalu, terdapat akhbar-akhbar arus perdana telah mendapatkan pandangan daripada segelintir pimpinan dan bekas pimpinan PAS diperingkat negeri dan akar umbi mengenai isu kerjasama dan perpaduan PAS dan UMNO. Perkara ini dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan dikalangan pimpinan dan ahli berhubung isu berkenaan - ANN