Sabtu, 04 September 2010
Hasan Ali Dedah Pertemuan Dengan Mufti Perak
Ditulis oleh admin   
Ahad, 25 Julai 2010 03:10

dha_2SHAH ALAM, 25 Julai - Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang juga Exco Kerajaan Negeri semalam mendedahkan pertemuannya dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bukan untuk membincangkan mengenai isu perpaduan sebaliknya adalah mengenai portfolio yang diamanahkan kepadanya iaitu Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu.

Dato' Dr Hasan Mohamed Ali menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor tidak pernah menyekat malah sentiasa menggalakkan ahli-ahli Exconya mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak bagi meningkatkan keupayaan, kemampuan, prestasi serta profesionalisme sekaligus melicinkan sistem pengurusan dan pembangunan negeri.

Hasan Ali mengakui bahawa pertemuannya dengan Harussani kira-kira dua bulan lalu disifatkan sebagai satu 'engagament' bagi meninjau ilmu dan pengalaman beliau yang telah berkhidmat sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perak lebih daripada 30 tahun.

Selain itu, Harussani juga pernah menjawat jawatan sebagai seorang Kadhi Besar Negeri Perak. Oleh yang demikian, pengalamannya yang luas dapat dimanfaatkan untuk kebaikan umat Islam seluruhnya.

Pertemuan tersebut juga merupakan sebahagian daripada persediaan beliau sebagai wakil kepada Kerajaan Negeri Selangor sebelum menghadiri mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.  

Kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau tersebut telah menepis desas desus yang mengatakan bahawa terdapat pimpinan PAS yang berunding dengan ulama' kontroversi tersebut bagi menjayakan agenda perpaduan bersama UMNO. Hasan Ali menafikan bahawa pertemuan tersebut diadakan secara sulit dan tiada apa-apa tindakan susulan antara kedua-dua belah pihak selepas daripada itu.

Beliau juga menyeru kepada mereka yang mempunyai prasangka dan agenda jahat terhadapnya agar dapat bermuhasabah dan tidak lagi melakukan kerja-kerja yang tidak memberikan manfaat kepada agama dan parti yang dicintai. -ANN