| Pertikaian Isu Air Bermotif Politik Memualkan Rakyat |
| Ditulis oleh admin | |||
| Isnin, 26 Julai 2010 04:03 | |||
|
WALAUPUN perbalahan antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Selangor berhubung isu bekalan air bersih di Lembah Klang menyaksikan pelbagai tuduhan, tohmahan dan penjelasan daripada pelbagai pihak berkepentingan, satu perkara yang mereka akui ialah penghuni Lembah Klang, merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bakal menghadapi krisis air sebelum berakhirnya dekad ini. Berbeza dengan isu pasir yang kesannya kepada rakyat dan alam sekitar hanya terhad di kawasan berhampiran, krisis air akan dihadapi semua orang tanpa mengira kedudukan dan parti politik. Kita tentu masih ingat betapa peritnya kehidupan rakyat Melaka selama beberapa bulan apabila Empangan Durian Tunggal kering pada 1991. Tujuh tahun selepas itu, menjelang Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada 1998, warga Lembah Klang, pula menghadapi catuan bekalan air apabila Empangan Klang Gates, Empangan Batu dan Empangan Semenyih hampir kering kerana kemarau panjang, yang dikaitkan dengan fenomena El-Nino. Berikutan itu, kerajaan Selangor pada 1998 dan 1999, melakukan kajian mendapati kawasan Lembah Klang akan berdepan krisis air pada 2012 hingga 2014 kerana permintaan semakin meningkat sedangkan bekalan sumber air tidak cukup bagi menampungnya. Kerajaan kemudian memutuskan untuk melaksanakan projek bekalan air mentah dari Pahang ke Selangor, yang antara lain membabitkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 1,130 juta liter sehari di Hulu Langat. Kemampuan ini dijangka dapat menampung keperluan air di Lembah Klang sehingga 2025. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menjangkakan permintaan air meningkat antara dua hingga 3.5 peratus setahun di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, menyebabkan kekurangan bekalan sebanyak 65 juta liter sehari pada 2010. Dalam kata lain, peningkatan itu sudah berlaku sekarang. Ini adalah fakta, berdasarkan kajian dibuat sama ada Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri, lama sebelum pentadbiran Selangor bertukar tangan. Sementara fasa pertama, pembekalan air mentah dari Pahang ke Selangor termasuk terowong bawah tanah antara Karak di Pahang dan Hulu Langat di Selangor sudah dimulakan, fasa kedua yang membabitkan pembinaan loji di Hulu Langat menghadapi masalah apabila kerajaan negeri menangguhkan projek itu. Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim dilaporkan berkata, projek itu tidak perlu disegerakan kerana Selangor masih mampu menampung keperluan sedia ada sehingga 2019. Katanya, anggaran itu adalah hasil kajian menyeluruh oleh pakar industri air berdasarkan jumlah penggunaan air, kapasiti pengeluaran air, dan bekalan air yang sedia ada, sehingga 2019. Kenyataan Khalid itu kemudian disangkal, bukan saja oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, malah beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM). Tidak cukup dengan soal bila tarikh sebenar berlaku krisis air, ia berlarutan kepada soal kos dan syarikat yang terbabit dalam pembinaan projek ini. Perbalahan kedua-dua pihak yang lebih bermotifkan politik ini bukan saja semakin memualkan pengguna dan mengelirukan sebahagian rakyat, malah menjauhkan lagi pihak-pihak terbabit dengan masalah pokok bagaimana mahu menangani krisis bekalan air di Lembah Klang nanti. Sama ada krisis air berlaku pada 2014 seperti diunjurkan Kerajaan Pusat atau 2019 seperti dipercayai kerajaan Selangor, yang pasti rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berdepan dengannya jika projek bekalan air dari Pahang itu gagal disiapkan. Hanya mereka yang tidak prihatin membenarkan perkara ini berlaku.
-Rencana diatas dipetik daripada Berita Harian, 26 Julai 2010
|
Berita Terkini
- Nie Ching Patuh Amaran Larang Masuk Masjid Oleh MAIS
- Azmin Ada 'Kunci' Rahsia Anwar
- Hudud Tidak Semestinya Dilaksana – PAS
- Perkara 153 : Siasatan Terhadap Nurul Izzah Ke Peguam Negara
- Lapor Berita Berasaskan Fakta - Najib
- Zahrain Dakwa TMI Ada Kaitan Dengan Bendera
- Nasharudin Ketua Delegasi PAS Bincang Isu Dengan Pemimpin Indonesia
- Pendirian Anwar, PKR Berubah-Ubah
- Melayu Perlu Tegas - Khairy
- Gelaran Liong Sik, Oi Chooi Digantung
- Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal 8 September
- Musa Hassan Tamat Kontrak