Sabtu, 04 September 2010
Kerajaan Selangor Mula Siasat Dakwaan Terhadap Ahli Majlis DAP
Ditulis oleh admin   
Jumaat, 30 Julai 2010 03:43

SHAH ALAM, 27 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah memulakan siasatan terhadap dakwaan seorang ahli majlis kerajaan tempatan telah menyalahgunakan kepala surat dan cap rasmi Exco untuk mengeluarkan surat sokongan untuk mendapatkan kontrak bagi kroni dan anggota keluarganya.

Siasatan itu bermula dua minggu lepas oleh pegawai kerajaan negeri, katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas dakwaan itu pada hari terakhir dialog Bajet Selangor 2011 di sini.

Laporan berita pada Selasa menyebut ahli majlis DAP itu telah memperoleh kontrak bernilai lebih RM1 juta untuk 20 syarikat daripada Majlis itu sejak berkhidmat pada Julai 2008.

Abdul Khalid berkata beliau telah mendengar penjelasan daripada Exco kerajaan negeri Ronnie Liu yang kepala surat rasmi beliau telah disalahgunakan.

Liu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kajian dan Penyelidikan dan anggota Jawatankuasa DAP Selangor.

Menteri Besar berkata Liu baru sahaja tahu mengenai perkara itu dan beliau mendakwa tidak terlibat dalam pengeluaran surat-surat sokongan berkenaan.

Ditanya sama ada ahli majlis berkenaan akan dikenakan tindakan selepas siasatan itu selesai, termasuk oleh polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya kerajaan negeri perlu memeriksa fakta dan menyelesaikan masalah itu kerana tidak mahu isu serupa berulang.

-- BERNAMA