Sabtu, 04 September 2010
Hashim Jasin Sokong Isu Perpaduan
Ditulis oleh admin   
Khamis, 29 Julai 2010 11:06

KANGAR, 28 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dari Sanglang, Hashim Jasin menyokong cadangan Pas dan UMNO mengadakan perbincangan  demi perpaduan umat Islam.

Katanya, perpaduan yang akan dijalinkan  itu mestilah berdasarkan Islam.

“Saya menyokong kuat perpaduan ini asalkan ia berdasarkan pada Islam. Jika ia berlandaskan Islam, Pas tidak boleh kata apa, UMNO pun tidak boleh berkata apa tentang perpaduan ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail semasa Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Mengenai ketakutan orang bukan Islam terhadap Islam, beliau berkata, perkara itu berlaku kerana ketidakfahaman mereka terhadap Islam.

“Mereka ditakut-takutkan oleh pihak-pihak tertentu termasuk orang Islam tentang Islam dan adalah salah besar bagi orang Islam menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap Islam,” katanya.

Beliau berkata, orang Islam perlu menjelaskan kepada orang bukan Islam bahawa jika Islam kuat, kaum lain juga mendapat kebaikan. 

 

-Utusan