| Diskaun Rumah, Hala Tuju Islam Dan Logo Haram |
| Ditulis oleh admin | |||
| Jumaat, 30 Julai 2010 02:52 | |||
|
Cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua agar memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor mendapat reaksi beberapa penulis blog. Selain itu, isu-isu hala tuju umat Islam serta cadangan logo "haram" disentuh oleh penulis-penulis lain. Dr. Novandri Hasan Basri dalam Minda Intelek Melayu (novandri.blogspot.com) berkata, cadangan Tony berhubungan pemansuhan diskaun hartanah itu yang kemudian disambut bantahan oleh Pas Selangor perlu dilihat dalam prospektif luas. Katanya, kedua-dua parti itu seolah-olah cuba mewujudkan persepsi bahawa Pas Selangor kini mampu menjinakkan DAP di negeri itu dan boleh mempengaruhi Tony agar menarik balik cadangan tersebut. "(Dengan demikian) Pas Selangor akan dilihat sebagai penyelamat Melayu di Selangor dan dalam masa yang sama, imej Pas Selangor boleh meningkat. "Malangnya, Pas Selangor akan terhutang budi kepada Tony Phua dan parti DAP kerana membantu mereka (membawa kemenangan pada pilihan raya lalu)," katanya. Jika hal itu berlaku, kata beliau, DAP akan merasakan dirinya bertambah kuat disebabkan Pas Selangor telah terhutang budi kepadanya dan strategi itulah yang digunakan DAP di negeri-negeri lain khususnya Pulau Pinang. Salleh Saad dalam Pandangan Orang Kampung (sallehsaad.blogspot.com) berkata, orang Melayu tidak boleh menyalahkan sesiapa jika berlaku penghakisan hak mereka seperti cadangan Tony tersebut, sebaliknya perlu menyalahkan diri sendiri. Katanya, ketika orang Melayu diberi kuasa selama lebih 50 tahun, mereka terlalu leka dan ghairah dengan kuasa yang ada sehinggakan tanpa disedari wujud luka-luka kecil yang kemudian menjadi barah. "Justeru, sesiapa pun dari kalangan orang Melayu sama ada yang ada hak untuk memberi kuasa (rakyat) atau yang berhak menerima kuasa (kerajaan) perlulah mengambil ini sebagai iktibar dan pengajaran yang cukup besar dan jangan berulang lagi pada masa akan datang. "Ruang untuk sesiapa pun, yang mungkin telah terkhilaf langkah atau membuat keputusan, masih ada untuk membuat pembetulan. Buatlah pembetulan dan beringat-ingatlah selalu. Pilihan raya umum seterusnya masih ada dan semakin hari semakin hampir," katanya. Umat Islam Mengenai hala tuju umat Islam, Dr. Ismail Ibrahim (profismail.blogspot.com) berkata, ketika umat Islam ketinggalan di belakang dalam semua aspek kemajuan dunia serta sains dan teknologi, timbul aliran dakwah yang mendorong umat meninggalkan dunia dan alam kebendaan. Katanya, aliran yang mahukan umat menumpukan kepada alam kerohanian semata-mata merupakan tafsiran yang menyeleweng tentang agama sebagai cara hidup lengkap dunia dan akhirat. "Ia merupakan satu usaha yang menyorot ke belakang, membawa minda dan pemikiran kita kepada alam fantasi dan ketakutan yang tidak berasas kepada hal dunia, sedangkan dunia ini adalah juga dijadikan Allah untuk kita. "Hari ini kita tidak mahu orang beretorik dan bermadah tanpa tujuan. Kita mahu orang yang dapat membakar semangat bekerja dan berusaha untuk kesejahteraan seluruh umat dengan kerja dunia dan akhirat," katanya. Kata beliau, agama adalah untuk dunia dan akhirat manakala agama bukan mahu mengajar kita menangis serta beremosi semata-mata. Sebaliknya, agama adalah ajaran yang serius, yang mahukan umatnya menjadi manusia berilmu, berteknologi, berharta, terkemuka di dalam dunia serta mampu bersaing dengan semua manusia lain di atas muka bumi. Barangan tidak halal Nasrudin Hassan dalam Kedah Lanie (kedahlanie.blogspot.com) pula mencadangkan kerajaan memperkenalkan "logo haram" bagi melabelkan produk-produk yang disahkan tidak halal di pasaran. Katanya, dengan adanya logo haram tersebut, ia akan mendidik pengguna agar tidak membeli produk-produk yang tidak halal sekaligus mengurangkan jumlah produk sedemikian di pasaran. "Saya percaya jika logo "haram" ini diperkenalkan, peluang untuk lambakan barangan tidak halal di pasaran akan menjadi lebih kecil. Mudahlah bagi Jakim untuk memantau memandangkan produk haram ini tidaklah sebanyak produk halal di pasaran . "Risiko pemalsuan logo haram juga mungkin lebih kecil berbanding pemalsuan logo halal. Lantaran logo halal menarik perhatian pengguna sementara logo haram tentunya menjauhkan pengguna," katanya.
-Rencana diatas dipetik daripada Utusan Malaysia, 30 Julai 2010
|
Berita Terkini
- Nie Ching Patuh Amaran Larang Masuk Masjid Oleh MAIS
- Azmin Ada 'Kunci' Rahsia Anwar
- Hudud Tidak Semestinya Dilaksana – PAS
- Perkara 153 : Siasatan Terhadap Nurul Izzah Ke Peguam Negara
- Lapor Berita Berasaskan Fakta - Najib
- Zahrain Dakwa TMI Ada Kaitan Dengan Bendera
- Nasharudin Ketua Delegasi PAS Bincang Isu Dengan Pemimpin Indonesia
- Pendirian Anwar, PKR Berubah-Ubah
- Melayu Perlu Tegas - Khairy
- Gelaran Liong Sik, Oi Chooi Digantung
- Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal 8 September
- Musa Hassan Tamat Kontrak