| Jangan Ganggu Pemilikan Hartanah Bumiputera di Selangor |
| Ditulis oleh admin | |||
| Jumaat, 30 Julai 2010 04:21 | |||
|
Cadangan DAP agar Kerajaan Negeri Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah adalah tidak wajar sama sekali. Ia telah melanggar semangat kerjasama dan perpaduan antara kaum. DAP seharusnya memahami dasar pemberian tersebut bertujuan mewujudkan keseimbangan pemilikan dan ekuiti antara kaum di negara ini. Langkah itu juga bagi membolehkan Bumiputera mencapai sasaran pemilikan ekuiti 30% yang masih belum tercapai sepenuhnya hingga hari ini. Malah kedudukan Bumiputera terutama dari segi keupayaan ekonomi masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain. Ini adalah fakta, bukan kenyataan kosong. Cadangan itu sebenarnya usaha terancang untuk menghalang Bumiputera memiliki hartanah di kawasan bandar. Ia juga bertujuan untuk meminggirkan kaum bumiputera secara halus dan berniat untuk mewujudkan jurang ketidakseimbangan lebih luas dalam pengagihan serta pemilikan ekuiti diantara kaum di negeri ini. DAP harus ingat, walaupun ketika ini Bumiputera mendapat diskaun sebanyak 7% untuk membeli hartanah komersial dan rumah mewah tetapi mereka yang mampu untuk memilikinya masih kecil berbanding kaum lain. Dianggarkan pemilikan kaum Bumiputera dalam hartanah komersial dan rumah mewah ketika ini kurang 10% berbanding kaum lain. Kami juga amat kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim yang menyokong cadangan DAP tersebut. Walaupun hanya melibatkan hartanah yang berjumlah RM500,000 hingga RM1 juta ke atas, tetapi berapa ramai Bumiputera yang mampu memiliki sekiranya diskaun dihapuskan. Kenyataan yang mengatakan bahawa sekiranya ada Bumiputera yang membeli hartanah berjumlah RM1 juta dan mendapat diskaun sebanyak RM70,000 dan sekiranya dijual semula harga pasaran sebanyak RM70,000 keuntungan mampu diraih, sebenarnya isu ini tidak timbul. Ini kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menghalang agar tidak dijual dengan sewenang-wenangnya iaitu dengan memperketatkan syarat-syarat seperti tidak boleh pindah milik dalam tempoh tertentu dan sebagainya. Bayangkan jika dimansuhkan, kaum mana yang akan menguasai sektor hartanah di Selangor dan kaum mana pula yang tertinggal daripada memiliki tanah yang bernilai tinggi. Lebih buruk lagi, ada usaha untuk menafikan hak Bumiputera yang berkemampuan untuk memiliki hartanah. Mereka akan mengatakan hartanah tersebut telah habis dijual, tetapi sebenarnya ia telah diberikan kepada kaum lain untuk memilikinya. Sekiranya ada pun, Bumiputera hanya ditawarkan lot-lot hartanah yang mempunyai nombor yang mereka anggap ‘sial’ atau tidak disukai. Kini, tembelang DAP sudah mula dilihat dan bersikap seperti ‘anai-anai’ yang sedikit demi sedikit cuba menafikan hak Bumiputera. Ia juga sebagai petanda awal bahawa parti itu sedia menghapuskan semua hak istimewa Bumiputera sekiranya diberi kuasa memerintah. Tidak mustahil nanti, Perlembagaan Persekutuan juga akan diubah. Sekiranya ia benar-benar berlaku, nasib Bumiputera bukan sahaja bertambah perit malah kepentingan Islam juga oleh terjejas. Justeru itu, kaum Bumiputera mesti sedar, bersatu dan menjadi pembela kepada bangsanya sendiri. Pemimpin Melayu dalam kerajaan yang menguasai tampuk politik negara sendiri perlu sedar tugas utama mereka untuk memastikan hak dan keistimewaan orang Melayu terus terpelihara dalam apa jua segi dan keadaan. Insaflah, lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin Melayu dan pengikut-pengikut mereka yang seronok bersekongkol dengan DAP. Adakah kita mahu melihat orang Melayu menjadi pengemis di negara sendiri dan Islam sebagai agama yang suci ini terjejas? Lihat dan renung sejenak, apa sudah jadi dengan orang Melayu di Singapura. RAMLAN HUSAIN
|
Berita Terkini
- Nie Ching Patuh Amaran Larang Masuk Masjid Oleh MAIS
- Azmin Ada 'Kunci' Rahsia Anwar
- Hudud Tidak Semestinya Dilaksana – PAS
- Perkara 153 : Siasatan Terhadap Nurul Izzah Ke Peguam Negara
- Lapor Berita Berasaskan Fakta - Najib
- Zahrain Dakwa TMI Ada Kaitan Dengan Bendera
- Nasharudin Ketua Delegasi PAS Bincang Isu Dengan Pemimpin Indonesia
- Pendirian Anwar, PKR Berubah-Ubah
- Melayu Perlu Tegas - Khairy
- Gelaran Liong Sik, Oi Chooi Digantung
- Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal 8 September
- Musa Hassan Tamat Kontrak