Sabtu, 04 September 2010
Umat Islam Malaysia Jangan Leka - A Kadir Jasin
Ditulis oleh admin   
Rabu, 04 Ogos 2010 04:55

AMAT elok kita berbahas mengenai perpaduan umat Islam di negara kita kerana tanpa perpaduan, umat Islam tidak akan mampu bertahan. Sekarang mungkin mudah kita mengamalkan Islam. Jika dibandingkan dengan banyak negara Islam, kita di Malaysia cukup bernasib baik. Tetapi janganlah kita sekali-kali menganggap keselesaan itu datang bergolek dan akan kekal selama-lamanya.

Percubaan mengawal kebebasan umat Islam Malaysia dan menguji akidah mereka sudah pun berlaku cuma tidak secara terbuka atau dihebohkan. Misalnya sudah ada masjid dan surau di kawasan bercampur yang “terpaksa” merendahkan bunyi azan. Cadangan membina masjid dan surau di kawasan seperti itu semakin dipersoalkan. Kini, penggunaan kalimah Allah di seluruh pelosok negara turut dituntut oleh Kristian Roman Katolik.

Umat Islam Malaysia Bertuah

Sebenarnya, sebagai umat Islam, kita di Malaysia amat bertuah. Hatta kedudukan negara kita di segi geografi pun membantu. Waktu solat dan berpuasa hampir tidak berubah. Kalau berganjak pun, beberapa minit sahaja.

Adakah terfikir oleh kita untuk bangun Subuh jam 3.46 pagi kerana jam 6.02 pagi habis waktu atau tunggu hingga jam 11.09 malam untuk menunaikan sembahyang isyak? Di mana saya berada sekarang di Eropah, itulah kedudukannya. Masuk zuhur 1.33 petang dan Asar 5.37. Kini musim panas, jadi siang hari panjang. Maka sebab itulah jam 9.02 malam baru Magrib. Kalau puasa pun macam itu – dari jam 6 pagi hingga 9 malam.

Tetapi, alhamdulillah Islam tidak tercorot macam dulu lagi walaupun terus tercabar. Masa saya awal-awal menjelajah dunia menjalankan tugas bermula tahun 1970an, kesedaran mengenai Islam amat terhad.

Kalau bukan dalam kapal terbang negara Islam, tidak ada makanan halal. Hari ini naiklah kapal terbang milik siapa pun, kecuali dari tempat terpencil, kita boleh pesan “Muslim meal” (makanan Islam).

Kebetulan, kesedaran mengenai Islam di kalangan syarikat penerbangan khasnya dan negara-negara bukan Islam bermula sekitar pertengahan tahun 1970an. Ia dicetuskan oleh sekatan pengeluaran minyak oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroliam Arab (OAPEC) pada bulan Oktober, 1973 sebagai membantah perbuatan Amerika menggantikan senjata tentera Israel yang musnah dalam perang “Yum Kippur”.

Pada mulanya tentera negara Zionis tewas dan wilayah Palestin dirampas tentera Arab. Tetapi apabila senjata mereka yang musnah diganti oleh Amerika, tentera Zionis menyerang balas dan menakluki banyak wilayah Arab.

Tindakan OAPEC menyekat bekalan hingga Mac, 1974 itu menyebabkan harga minyak naik 70 peratus dan mengancam kemelesetan ekonomi global. Dengan serta merta Amerika bertindak memerintahkan Israel berundur dari wilayah Mesir yang ditaklukinya. (Pada waktu itu, minyak mentah berharga tidak sampai AS$3 satu tong.)

Negara Islam Tidak Lagi Bersatu

Sejak itu, negara-negara Arab tidak lagi bersatu menghadapi Israel dan harapan mendapatkan balik bumi Palestin secara ketenteraan sudah tidak wujud lagi. Amerika dan sekutunya tidak akan membenarkan kemungkinan itu berlaku. Apatah lagi, banyak sekutu Amerika hari ini adalah negara-negara Arab.

Jadi, kita di Malaysia janganlah seronok sangat berpolitik dan berpolemik hingga apa yang kita kendung berciciran dan apa yang kita kejar tak dapat. Jangan lupa, tak sampai 60 peratus penduduk Malaysia adalah Islam.

Di negara tempat saya berada ini (untuk melawat cucu – tiga orang), pada bulan November tahun lalu mereka mengadakan pungutan suara dan berjaya mendapat sokongan mengharamkan pembinaan menara di masjid-masjid.

Gerakan anti orang Islam semakin menjadi-jadi di Eropah berpunca daripada kebimbangan meningkatnya bilangan penduduk Islam di benua ini. Ia adalah reaksi politik Judeo-Christian Eropah (termasuk Amerika) terhadap Islam sejak zaman berzaman.

Inilah akibatnya apabila orang Islam tidak ada kuasa dan menjadi kelompok minoriti. Walaupun mereka hidup secara aman dan menyumbang kepada negara mereka menetap, hak mereka tetap dikawal dan dihadkan.

Berbaik Tapi Ada Had

Tetapi kita di Malaysia tidak tegah penganut agama lain membina tempat ibadat hingga ada yang melampau-lampau membina tempat ibadat tanpa kebenaran dan secara haram.

Jadi ingatlah, jangan kerana gilakan kuasa, tak kira kuasa politik atau ekonomi, kita memperjudikan hak dan kedudukan kita sebagai orang Islam.

Jangan kita jadi macam umat Islam di banyak negara Islam yang sudah dicucuk hidungnya oleh imperialis ekonomi dan ketenteraan Barat, atau diperkotak-katikkan oleh Muslim liberal yang mengamalkan konsep kebebasan Judeo-Christian Eropah.

 

-Artikel diatas dipetik daripada blog A Kadir Jasin (http://kadirjasin.blogspot.com)

 
Berakhirkah Kuasa Politik Melayu?

PADA 1946, UMNO ditubuhkan, ketika itu semua orang Melayu boleh dianggap berada dibawah payung parti berkenaan. Namun penyatuan itu tidak lama apabila terwujud Pas pada tahun 1951 selepas berlaku perpecahan di dalam UMNO, ertinya orang Melayu sudah berpecah kepada dua kumpulan.

Buat seketika pertelingkahan politik di kalangan orang Melayu hanya berkisar kepada dua parti ini sahaja, satu pihak menyokong UMNO dan satu pihak lagi menyokong Pas tetapi hakikatnya Melayu sudah berpecah. Penyatuan antara kedua-dua partinya hanya berlaku seketika pada awal tahun 70-an sebelum Pas sekali lagi membawa diri. Melayu kembali berpecah.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila berlaku lagi krisis dalam UMNO. Kali ini ia mewujudkan penubuhan Parti Melayu Semangat 46 (S46), walaupun tidak lama berada dalam persada politik tanah air namun kehadiran S46 turut memecahkan undi Melayu.

Bagaimanapun keadaan agak tenang seketika apabila S46 dibubarkan dan ramai kembali kepada UMNO tetapi pertarungan politik antara parti itu dengan Pas berterusan.

Ketika UMNO dan Pas masih lagi teraba-raba mencari titik pertemuan, tercetus pula krisis ketiga dalam UMNO yang 'melahirkan' Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Berbanding perpecahan-perpecahan Melayu sebelum ini, kewujudan PKR ternyata semakin melemahkan kuasa politik Melayu. Orang Melayu yang sudah terbahagi kepada dua puak kini menjadi tiga puak dan ia belum lagi mengambil kira puak keempat iaitu atas pagar.

Akhirnya, walaupun menjadi penduduk majoriti di negara ini, kuasa politik Melayu semakin lemah. Malangnya kelemahan itu tidak menguntungkan UMNO, Pas mahupun PKR, sebaliknya parti-parti bukan Melayu yang lain.

Apa yang berlaku di Pulau Pinang dan di Perak (selama 11 bulan) seharusnya memberi kesedaran kepada orang Melayu bahawa kuasa politik mereka boleh lenyap bila-bila masa atau kalau pun mempunyai jawatan, mereka perlu mengikut telunjuk orang lain kerana kekurangan jumlah kerusi.

Di Pulau Pinang, walaupun DAP berkongsi kuasa bersama-sama dengan Pas dan PKR tetapi DAP tidak pernah peduli perasaan orang-orang Melayu dalam kedua-dua parti tersebut. Sebab itulah pelbagai tindakan dilakukan termasuk merobohkan kampung-kampung orang Melayu.

Begitu juga di Perak, walaupun sedikit sebanyak orang-orang Melayu di dalam Pas dan PKR membantu kemenangan calon DAP sehingga mereka mampu memiliki kerusi terbanyak di negeri itu, tetapi ketika menjadi kerajaan negeri, DAP tidak pernah mengambil kira pandangan Pas dan PKR. Menteri Besar yang dilantik hanya mengikut sahaja apa yang DAP arahkan.

Sedangkan kalau UMNO dan Pas bekerjasama mewujudkan kerajaan perpaduan, senario 'mengikut telunjuk' tersebut tidak akan berlaku. Ini memandangkan UMNO mempunyai 28 kerusi dan Pas enam kerusi menjadikan jumlah keseluruhannya 34 kerusi.

Di Kedah, walaupun Pas memerintah tetapi talian hayat kerajaan negeri tetap bergantung kepada tiga ADUN bukan Melayu daripada PKR.

Di Selangor, Menteri Besarnya, bukan sahaja bergantung kepada DAP untuk terus kekal sebagai kerajaan negeri malahan harus mendapat sokongan ADUN bukan Melayu dalam PKR untuk kekal berkuasa.

Kecuali di Kelantan dan Terengganu yang bakal terus menyaksikan pertarungan antara parti-parti orang Melayu, di negeri-negeri lain, kuasa politik Melayu semakin berkurangan.

Berikutan perpecahan yang berlaku kuasa politik orang Melayu di Parlimen juga semakin lemah. UMNO yang diharapkan menjadi sandaran orang Melayu semakin 'nipis' jumlah kerusinya di Parlimen. Parti itu hanya menguasai 78 kerusi. Kita tidak boleh berharap bahawa kepentingan Melayu akan turut dikongsi oleh semua ahli Parlimen Pas kerana sebahagian besar mereka lebih taksub 'memuja' Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kelompok ini agenda mereka hanya ingin mendapat kuasa bersama-sama DAP. Kesudahannya UMNO bergantung kepada ahli Parlimen bebas yang keluar PKR dan sedikit sokongan daripada Pas agar agenda Melayu tidak diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP.

Namun persoalannya sekarang, apakah akan berlaku dalam pilihan raya umum akan datang.

Pelbagai analisis dan kajian yang dibuat oleh sesetengah pihak berkecuali (non partisan) mendapati, kuasa politik Melayu tidak mustahil akan luntur daripada persada politik tanah air.

''Masih ramai ahli politik Melayu leka dan tidak sedar bahawa ada bahaya yang sedang menanti dalam pilihan raya umum akan datang. Situasi ini jika dibiarkan boleh memungkinkan kuasa politik Melayu akan berakhir.

''Jika ini terjadi ia bukan sahaja akan merugikan UMNO semata-mata tetapi juga Pas di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta ahli politik PKR yang masih kukuh idealismenya dalam perjuangan untuk bangsa, agama dan negara," kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada penulis ketika dihubungi.

Persefahaman

Sememangnya, ketika orang Melayu masih belum mampu mencapai persefahaman hatta dalam soal mempertahankan hak orang Melayu dan umat Islam sekali pun, parti-parti politik bukan Melayu bukan sahaja semakin mengukuh cengkaman mereka di sesetengah negeri dan kawasan malahan mula mengatur gerakan membuat tuntutan demi tuntutan untuk kepentingan kaum mereka.

Seperti mana kata seorang lagi pemimpin UMNO, walaupun mereka sedari ada kalanya tuntutan mereka adalah melampau dan boleh menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan orang Melayu tetapi mereka tidak mempedulikannya. Mereka ingin menonjolkan diri menjadi juara kepada kaum sendiri.

Puak-puak ini amat memahami bahawa politik Melayu berada di dalam keadaan lemah.

Walaupun terdapat tiga parti politik yang diterajui orang Melayu tetapi mereka tidak mampu bersatu hati. Ini berbeza dengan amalan politik parti-parti bukan Melayu, mereka akan sepakat dalam soal berkaitan kaum mereka.

Tetapi orang Melayu, kalau UMNO bercakap soal kepentingan Melayu, sebahagian puak-puak di dalam Pas dan PKR akan menuduh UMNO rasis dan mengamalkan politik perkauman tetapi mereka tidak pula menyerang parti-parti bukan Melayu yang memperjuangkan hak kaum mereka secara keterlaluan.

Ketika ini pembangkang yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Pas begitu yakin bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), mereka akan menguasai Putrajaya dan sudah ada congak dibuat bahawa beberapa negeri lagi akan jatuh ke tangan mereka.

BN terutamanya UMNO tidak boleh merasa selesa bahawa negeri yang mereka pegang sekarang akan berkekalan. Apa yang terjadi kepada Selangor adalah contoh terbaik. Tidak mustahil keadaan ini boleh berlaku di negeri-negeri lain pula seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, jika UMNO terus leka.

Hakikatnya, kita menghormati proses demokrasi yang mana rakyat memilih siapa yang mereka mahukan tetapi persoalannya apakah akan berlaku kepada kuasa politik orang Melayu? Mampukah PKR yang pemimpinnya terlalu kemaruk kuasa mengimbangkan kekuatan DAP? atau mampukah Pas bersuara bagi membolehkan mereka menjadi dominan dalam pakatan pembangkang?

Bagaimana pula dengan UMNO, beranikah parti itu mengambil semula kerusi-kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu tetapi sebelum ini diserahkan kepada komponen BN yang lain untuk bertanding atas dasar setiakawan? Mampukah UMNO dan Pas menambah kerusi dalam Parlimen bagi memastikan suara orang Melayu dan umat Islam terus kedengaran dan hak mereka tidak diperkotak-katikkan?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah memberikan isyarat mengenai bahaya yang menanti orang Melayu kalau mereka terus berpecah dari segi kuasa politik, begitu juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah berkali-kali mengingatkan bahawa kuasa politik yang dipegang orang Melayu mungkin hilang jika mereka berpecah-belah.

Mengekalkan kuasa politik Melayu bukanlah bermakna kita hendak menganiaya atau mengetepikan hak kaum lain. Selama 53 tahun memerintah Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tonggak kekuatannya sudah membuktikan bahawa nasib kaum bukan Melayu sentiasa dipelihara dan terbela.

Pengekalan kuasa politik Melayu juga bertujuan untuk memastikan kaum bukan Melayu tidak terjebak dalam permainan politik sempit yang boleh memudaratkan keharmonian di negara ini.

Mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa masa depan kuasa politik Melayu bergantung sepenuhnya kepada UMNO dan Pas. Orang Melayu tidak boleh berharap kepada PKR. Bagi pemimpin-pemimpin PKR mereka akan melakukan apa sahaja asalkan boleh mendapat undi. Cukuplah kedua-dua parti itu bertelagah sejak hampir 60 tahun lalu.

Masanya sudah tiba untuk dua parti besar itu seperti mana kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mencari 'kemuncak persamaan' bagi membolehkan mereka duduk semeja berbincang dalam usaha memastikan kuasa politik Melayu tidak lenyap dalam pilihan raya umum akan datang.

Sekali lagi mungkin akan ada di kalangan pemimpin dan ahli Pas yang akan mendakwa bahawa semua ini agenda untuk menakut-nakutkan orang Melayu atau lebih tepat lagi bagi menyelamatkan kuasa politik UMNO yang dikatakan semakin berkurangan.

Tidak kisah untuk bertelagah berebut kerusi dalam pilihan raya tetapi janganlah sikap 'berlawanan' dalam pilihan raya itu turut diseret ketika kita berhadapan dengan persoalan untuk mempertahankan hak orang Melayu dan umat Islam.

Orang Melayu perlu sedar dan bangkit untuk menyedari bahawa kuasa politik mereka semakin terancam, jika mereka terus bertelagah dalam soal politik. Sama ada UMNO mahupun Pas mereka perlu sedar kalau kuasa politik itu hilang, kedua-duanya akan rugi. Oleh itu mereka harus berusaha sedaya upaya mencari titik persamaan bagi memastikan di dalam pilihan raya umum nanti kuasa politik Melayu tidak hanya menjadi bahan sejarah!

 

* Ditulis oleh Zulkiflee Bakar, Mingguan Malaysia

 
Selangor Milik PKR, Mutlak!

TAJUK atas pendek, tetapi menceritakan segala-galanya. Anwar Ibrahim semakin kemaruk kuasa apabila cuba menolak pakatannya yang lain, DAP dan Pas bagi memberi laluan partinya PKR menerajui Selangor - secara mutlak.

Malam semalam saya hadir satu perjumpaan dengan beberapa sahabat yang rapat dengan Pas Selangor. Pas amat kecewa dengan sikap PKR itu. PKR mahu membolot sepenuhnya negeri itu. ''Kalau macam ini Pakatan Rakyat akan pecah. DAP pun sedang marah sekarang."

Permainan Anwar dan konco-konconya termasuklah anak emasnya, Azmin Ali amat licik sekali. Anwar yang pernah menderhaka dengan UMNO, juga sanggup melakukan perkara yang sama dengan Pas dan DAP - asalkan hajatnya tercapai.

Beliau bukan seorang pemimpin yang jujur, kata seorang penganalisis politik veteran kepada saya.

Anwar tahu Selangor ialah lubuk emas yang cukup besar. Selangor walau dalam apa cara sekalipun perlu dipegang seerat-eratnya. Khalid Ibrahim selama ini dilihat oleh Anwar dan konco-konconya sebagai orang yang tidak tahu memerintah. Mereka silap percaturan apabila meletak Khalid di sini. Khalid dilihat tiada idealisme yang seiring dengan mereka.

Khalid juga dilihat terlalu 'mengambil berat' dan membiarkan Exco-Exco DAP dan Pas menguasai negeri itu. Mereka juga mempertikaikan apabila Khalid memberikan kepada Hassan Ali memegang mikro kredit (seperti Tekun) berjumlah sehingga RM50 juta. DAP juga sedang memegang portfolio yang hebat-hebat.

Si Khalid yang sudah syok duduk atas kerusi Menteri Besar itu harus dinyahkan. Lagipun Khalid tiada apa-apa kuasa politik. Bahagiannya di Kuala Selangor pun mahu menolaknya. Oleh itu, bukan masalah besar untuk berbuat demikian.

Kini Azmin sudah menerajui PKR Selangor. Usahanya lebih mudah. Silap-silap hari bulan Azmin yang akan mengambil alih kerusi Menteri Besar Selangor. Ia bukan mustahil. Lagipun Azmin memang bercita-cita mahu menjadi Menteri Besar Selangor, sama seperti cita-cita bosnya yang mahu menjadi Perdana Menteri.

Bagi Anwar apa yang berlaku sekarang dalam PR tidak adil. Jika DAP sudah mempunyai negeri Pulau Pinang secara mutlak, Pas sudah mempunyai Kelantan dan Kedah secara mutlak, PKR yang mengaku menjuarai dan mengasaskan Pakatan Rakyat juga mahukan sebuah negeri yang boleh dikuasainya secara mutlak.

Bagi Anwar dan PKR masa mereka sudah terlalu suntuk. Sebelum pilihan raya umum akan datang mereka perlu menguasai Lubuk Emas Selangor ini segera.

Saya diberitahu oleh 'orang dalam' kerajaan Selangor - semua pihak sedang pulun apa yang ada sebelum terlambat.

Saya tidak boleh memberikan detailnya di sini, tetapi pegawai-pegawai kerajaan negeri itu pening kepala dengan cara negeri itu diperlakukan. Sebabnya ialah kerana mereka tidak yakin Selangor boleh dipertahankan dalam PRU-13 kelak.

Anwar dan PKR sedar negeri Selangor kini diperlakukan secara rakusnya. Mereka pun mahu share yang besar dan bukan sisa-sisanya sahaja.

Pendek kata, Selangor ialah penentu nasib mereka dalam mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-13. Mereka memerlukan perbelanjaan yang maha besar. Selangor ialah penyelamat. Selangor bukan sahaja lubuk kuasa, tetapi juga lubuk wang untuk membiayai pilihan raya itu kelak.

Masa sudah terlalu suntuk. Pas dan DAP kini terpinga-pinga. Tergamak Anwar bersikap sedemikian?

 

* Rencana ini ditulis oleh Zaini Hassan di dalam Utusan Malaysia

 
Pas Perlu Memimpin Bukan Dipimpin

MULAI Khamis hingga Ahad ini (10 hingga 13 Jun) giliran Parti Islam SeMalaysia (PAS) pula mengadakan kongres ataupun muktamar. Muktamar kali ini berlangsung di Pusat Terbiyah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa. Dua minggu lalu rakan mereka, PKR berjaya mengadakan kongres ke-6 di Kota Bharu Kelantan.

Muktamar kali ini menggunakan tema “Keadilan Islam”. Pemilihan tema ini dikira tepat dan bersesuaian dalam rencana PAS untuk menjadi parti global di masa akan datang.
Seperti muktamar yang lalu muktamar ke 56 ini juga penting. Walaupun ianya tidak melibatkan pertandingan tetapi ia tetap mendapat perhatian dari dalam dan luar negara.

Ada sedikit kelainan dalam muktamar kali ini. Di mana muktamar dewan pemuda dan muslimat yang ghalibnya di rasmikan oleh Timbalan Presiden tetapi kali ini perasmian serentak dewan-dewan akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sesuai dengan muktamar kali ini tidak melibatan pertandingan, sudah pasti ianya akan memberi lebih tumpuan kepada memesyuawarah beberapa isu semasa yang ada sangkut paut dengan hala tuju perjuangannya. Memandangkan pilhan raya umum ke – 13 semakin dekat sudah pastilah muktamar turut memberi fokus kepada persiapaan menghadapi pilihan raya dengan permantapan parti dan juga pengemasan ikatan dalam Pakatan Rakyat.

Yang tidak akan terelak dari disinggung nanti juga ialah mengenai isu kepimpinan dalam PAS. Isu ini akan akan dicuri oleh perwakilan untuk memperkatakan kerana pada tahun depan PAS akan berhadapan dengan pemilihan hierarki kepimpinannya, sedikit sebanyak kempen untuk pertandingan akan datang akan terbawa pada muktamar.

PAS yang kini dibawa pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden dengan Nasharuddin Mat Isa, sebagai timbalannya manakala Datuk Mustapa Ali selaku Setiausaha Agung tentu akan dinilai sejauh manakah kemantapan dan keberkesanan kepimpinan mereka. Tidak dapat tidak kempimpinan mereka berdua yang diidolakan sebagai kepimpinan ulama akan diperkatakan.

Apakah perwakilan akan memberi kredit ataupun akan mengdiskreditkan kepimpinan mereka?
Dari zahir ianya seperti tidak ada masalah yang timbul setakat ini antara kedua mereka serta saf kepimpinan yang termasuk Naib-Naib Presiden dan ketua-ketua Dewan, Ulama, Pemuda dan Muslimat. Walaupun ada gangguan-gangauna kecil yang boleh sifatkan kenakalan semulajadi dalam sesebuah organisasi namun mereka utuh dan dapat melaksanakan tanggungjawab parti dengan baik.

Kemajuan yang dicapai PAS waktu ini, terutamanya mempamerkan kemantapan organisasi, kesetiaan dan komitmen ahli dan penyokong di bawah naungan mereka menjelaskan akan keberkesanan kepimpinan mereka. Kemantapan parti memberi erti kepimpinan mereka di terima dan disokong.

Sesungguhnya ahli PAS boleh berbangga dalam suasana rakan mereka PKR bersabung nyawa berhadapan dengan kerenah ahli yang tidak sabar dan lebih mementingkan diri sehinggakan ada yang berpaling tadah, namun fenomena ini tidak berlaku kepada PAS. Kekukuhan iktikad perjuangan di kalangan ahli PAS khasnya para wakil rakyat adalah berkat kepimpinan dan doa mutabar ulamanya.

Cuma malang sedikit bila mana ada usaha kecil untuk memecilkan mereka dari gelora mainstrem PAS waktu ini. Sifat kurang mesra atau wajah serius Abdul Hadi masih lagi menjadi sebutan. Begitu juga dengan pembawaan Nasharuddin yang dikatakan mirit keelitan, turut disebut-sebut. Sepatutnya roman kemanusiaan ini tidak menjadi perhatian sebaliknya apa yang perlu dilihat ialah keberkesanan dan kemajuan harakah di bawah tangan mereka. Bak seorang imam dalam solat, mungkin cara takbiratulihram dan rukuknya tidak sama atau sempurna, tetapi yang lebih afdal diperhatikan bahawa solatnya masih utuh pada rukun-rukun asasnya.
Begitu juga dengan lujnah yang diwujud di bawah pentadbiran mereka setahun lalu akan turut dinilai dan dikaji. Apakah ianya telah melaksanakan tanggungjawab parti yang disarankan dalam muktamar PAS lalu atau sebaliknya.

Isu-isu lain yang akan dikemukakan nanti tentulah berhubung persekitaran kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS dan peranan PAS dalam komponen itu sendiri. Kerjaaan Pakatan Rakyat Kedah yang diterajui PAS tidak akan terlepas dari disorot dan diulas oleh para muktamir. Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah kini agak gawat ekoran beberapa orang Adun telah menimbulkan masalah di Kedah. Isu itu akan jadi tumpuan para muktamir berkenaan.

Para muktamir akan bangkit mengemukakan cadangan atau memberi idea jalan keluar bagi mengatasi masalah yang berlaku di negeri berkenaan. Mungkin juga ada yang mencadangkan satu mekanisme perlu diambil bagaimana untuk menghalang kejadian keluar atau lompat parti dari berlaku.

Selain itu yang mungkin juga akan diberi pehatian ialah mengenai apa yang berlaku di Kelantan tertuamanya wujud apa disifatkan sebagai ‘musuh dalaman’ yang membuat onar sehingga mengkucar kacirkan pentadbiran kerajaan. Masalah ini perlu diberi perhatian agar Kelantan senantiasa berada dalam keselamatan dan terus menjadi negeri pemancu dan pemimpin kekuatan Pakatan Rakyat.

Perkara-perkara lain yang kemungkinan akan menjadi perhatian perwakilan ialah mengenai penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Pembentukan dewan ini satu kemajuan kepada PAS namun ia perlu diperhalusi secara komprehensif oleh para perwakilan. Apakah Dewan ini perlu diberi kuasa memilih seperti ahli lain atau sebaliknya.

Untuk memberi laluan kepada ahli Dewan Himpunan bertanding menggunakan lambang bulan tidak menjadi masalah, tetapi untuk menentukan dasar dan polisi parti mungkin ada masalah. Kalau PAS boleh memberi keizinkan kepada Ibrahim Ali, apa salahnya diberikan kepada ahli Dewan. Rasanya ahli Dewan lebih ikhlas dan jujur daripada Ibrahim Ali.

Isu lain yang tidak boleh dikesampingkan oleh perwakilan dan ini saya rasa cukup penting mengenai keupayaan PAS sebagai sebuah parti alternatif kepada semua parti dan semua bangsa dan kaum di negara ini. Dengan anjakan perubahan dan kemajuan yang dicapai PAS mendadak muasir ini, di mana melangkau batas-batas kebiasaan dan budaya, PAS sebenarnya sudah kuat dan relevan menjadi sebuah parti alternatif bukan saja kepada Melayu tetapi juga kepada bukan Melayu.

Misalnya kewujudan Dewan Himpunan yang mempunyai ahli seramai 20,000 menunjukkan keyakinan masyarakat bukan Islam kepada PAS sebagai sebuah badan siasah di negara ini. PAS patut mengkaji mengambil kesempatan ini untuk meletakkan diri mereka sebagai sebuah parti yang kuat. Apa yang umum nampak penerimaan itu kerana progresif dan rasionalnya perjuangan PAS waktu ini. Penerimaan mereka itu juga menunjukkan mereka percaya dan yakin dengan kepimpinan PAS pada masa ini.

Di sini menunjukkan orang percaya kepada PAS. Keyakinan ini bersendi kepada sikap dan pembawaan PAS yang realistik dalam masyarakat majmuk dan sedia membuat ijtihad politik yang baru. Misalnya kejayaan dan ketulusan serta penerimaan kerajaan PAS Kelantan menjadi sumbernya dan kejayaan ini turut sama disebut-sebut parti rakan Pakatan Rakyat dan juga parti lawan.

Kehebatan ini juga ada sangkut paut dengan kekeramatan pemimpin kerohanian PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.

Malangnya kelebihan dan penghormatan itu semacam tidak dikesan dan dimanfaat oleh PAS. PAS terus menjadi parti yang merendah diri dan tidak mahu menabirkan kekuatan dan kehebatannya. PAS masih merasakan diri mereka kerdil kerana terlalu menebalkan sikap zuhud.

Dengan kelebihan itu seharusnya PAS tidak berada di belakang parti lain yang menjadi penyedak ataupun penguat semangat. Sesekali pemimpin PAS harus berani mengemukakan idea dan berani memberi pandangan dan melentang keliberalisasian wawasan Pakatan Rakyat. Apa yang penting PAS perlu melorongkan idealisme Islam ke dalam Pakatan. Tidak ada guna PAS menang pilihan raya dan menawan beberapa negeri tetapi PAS tidak boleh untuk melaksanakan apa yang menjadi matlamat perjuangan asalnya.

Masalah dan perkara ini juga patut direnung dan diwacanakan dalam muktamar kali ini. Para perwakilan tidak perlu malu ‘alah’ mengenai hal ini dan takut untuk menyebutnya. Muktamar adalah forum untuk kita mengemukakan pandangan dan pendapat secara bebeas tetapi tetap beradat.

Sekali lagi ditegaskan PAS harus mempersiapkan diri untuk muncul menjadi parti memimpin dan bukan dipimpin. Lagipun disegi usia PAS merupakan parti yang tertua dalam Pakatan. Persediaan untuk menjelmakan PAS menjadi parti memimpin, para pemimpin harus menyatukan idea dan bergerak seiring memperbetulkan fikrah, uslub dan strategi seperti mana dimaktub dalam perlembagaan. Percanggahan ideologi, uslub serta buta strategi tidak memungkin untuk PAS mengapai harapan ini.

Isu-isu remeh dan lapok yang digunakan untuk tujuan peribadi seperti si anu masih berhubung dengan si anu ataupun si anu tidak Islamik, seharusnya dilupakan saja. Apa yang penting semua keretakan-keteretakan kecil yang berlaku dalam parti hendaklah diplaster biar ianya tidak nampak dek mata zahir. Yang penting PAS perlu dikonkrit dengan semangat ukhwah Islamiah dan iltizam yang satu demi menegakkan kalimah Allah atas muka bumi ini berdasarkan acuan Quran dan Hadith.

Manakala mengenai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang PAS perlu meletakkan agenda utamanya untuk merampas Terengganu, mengekalkan Kedah dan Kelantan. Selain itu satu plan tindakan kena digarap bagaimana untuk menambahkan kerusi PAS di Perlis, Perak, Selangor, Pahang dan lain-lain negeri. Keperluan itu untuk menjadikan PAS akan memimpin negeri-negeri itu di masa akan datang.

 

[Rencana ini ditulis oleh Mohd Sayuti Omar]

 
<< Mula < Sblm 1 2 3 Seterusnya > Tamat >>

JPAGE_CURRENT_OF_TOTAL