|
KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Ketika PAS dan DAP dilihat masih belum mencapai kata sepakat dalam isu pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam, beberapa penganalisis politik berpendapat kedua-dua aspek itu akan menjadi “duri dalam daging” dalam Pakatan Rakyat (PR) dan boleh menggugat ikatan berusia lebih dua tahun itu.
“Saya sebenarnya tidak nampak PAS serius untuk melaksanakannya dan saya yakin ia hanya bersifat retorik politik semata-mata.
“Bagi saya pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam tidak relevan untuk diamalkan, malah ia hanya akan menjadi duri dalam daging yang akan memecahkan PR,” kata Prof Madya Dr Mohd Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada The Malaysian Insider.
PR mengadakan mesyuarat majlis pimpinan parti komponen petang ini, yang pertama sejak isu hukum hudud dan negara Islam muncul semula.
PR dianggota PKR, DAP dan PAS.
Beliau berkata, tindakan PAS yang sehingga kini tetap membangkitkan kedua-dua aspek tersebut hanya memberikan kesan buruk kepada PR.
“Ini hanya akan menimbulkan konflik antara PAS dan DAP, malah saya percaya ian akan memecahkan PR.
“Jadi PAS perlu berhenti membangkitkan isu ini, sebaliknya bertindak mengikut peredaran semasa dengan melaksanakan kaedah yang diterima rakyat.
“Selain itu, PAS perlu menerima realiti ini baru boleh membina masa depan negara yang baik,” katanya.
Pensyarah kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam merupakan dasar perjuangan PAS dan sudah menjadi darah daging parti Islam itu.
“Masalah yang timbul adalah apabila parti komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP menentang keras kedua-dua aspek tersebut.
“Jadi isu ini tidak akan selesai memandangkan ia memang agenda perjuangan PAS sejak dari dulu lagi,” katanya.
Menurutnya, masalah besar akan timbul sekiranya PR berjaya memerintah negara kerana PAS pasti mahu kedua-dua aspek tersebut dilaksanakan.
“Sampai bila-bila isu ini tidak akan dapat diselesaikan sekiranya DAP terus menolak cadangan PAS.
“Saya melihat isu ini akan menjadi duri dalam daging yang boleh memecahkan PR.
“Malah saya pasti PAS memang akan kekal untuk melaksanakan hukum hudud dan negara Islam jadi ia boleh timbulkan perpecahan dalam PR jika tiada kesepakatan dalam perkara ini,” katanya.
Mohd Azizuddin berkata, PAS dan DAP tidak akan bersatu dalam pelaksanaan hukum hudud dan juga negara Islam kerana kedua-dua parti itu hanya bersatu atas dasar politik.
“Bagaimana PAS dan DAP akan mendapat kata sepakat dalam isu ini sedangkan kedua-dua parti itu mempunyai idealogi dan perjuangan yang berbeza,” kata beliau.
PAS sebelum ini meminta DAP memahami dasar perjuangan PAS yang bercita-cita mahu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam, sekiranya menawan kerajaan persekutuan, bagi mengatasi masalah jenayah dan sosial membabitkan orang Islam.
Parti itu juga menegaskan, ia tidak akan kompromi sama sekali dalam soal menegakkan hukum hudud dan cita-cita menjadikan Malaysia negara Islam.
Namun Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata parti itu tetap menolak idea mahu melaksanakan undang-undang hudud dan negara Islam atas alasan ia tidak pernah disentuh dalam Dasar Bersama PR.
Lim juga mempertahankan pendirian konsisten parti itu yang sentiasa menekankan bahawa Malaysia sebuah negara sekular.
Bagi Pensyarah sains politik UKM Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman pula, walau apa pun yang terjadi PAS akan tetap memperjuangkan Islam termasuk pelaksanaan hukum hudud.
“Ini jelas kerana ia memang sudah menjadi dasar perjuangan PAS cuma apabila bekerjasama dalam PR kita nampak tuntutan PAS nampak sedikit longgar.
“Tapi itu hanya dalam berpolitik kerana PAS tetap berpegang kepada Islam cuma ia tidak terlalu ekstrem dalam PR, mungkin PAS cuba untuk sesuaikan kedudukan yang mempunyai parti lain yang tidak faham dengan perjuangan yang dibawa PAS,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kedua-dua apsek tersebut menjadi “duri dalam daging” tetapi PAS tetap tidak akan melunturkan dasar perjuangan mereka.
“Ia sudah jadi darah daging PAS dan tidak mungkin PAS akan buang dasar perjuangan mereka cuma mungkin PAS perlu memperlahankan daripad membangkitkan isu ini.
“Ini kerana ia boleh memecahkan PR jika PAS secara terus-menerus membangkitkan isu ini,” katanya.
Minggu lalu, Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh mengumumkan bahawa beliau kekal menentang undang-undang sedemikian jika PR mengambil alih kerajaan persekutuan.
Kata Karpal, undang-undang sedemikian “tidak berperlembagaan” dan setiap orang perlu menghormati perlembagaan.
DAP mengeluarkan kenyataan ini sehari selepas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadinya.
Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.
Karpal tidak bersetuju dengan cadangan Nik Aziz, yang dibuat Khamis lalu bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.
-The Malaysian Insider, 26 Ogos 2010 |