|
Nie Ching Patuh Amaran Larang Masuk Masjid Oleh MAIS |
|
Ditulis oleh admin
|
|
Jumaat, 03 September 2010 04:16 |
|
SHAH ALAM, 3 Sept - Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching akur dan patuh dengan amaran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang melarang beliau tidak lagi memasuki ruang solat di surau dan masjid di Selangor. Menurutnya, surat amaran tersebut diterima melalui faks dipejabatnya pada 1.30 tengah hari kelmarin dikeluarkan atas perintah Sultan Selangor, Sultan Sharaffudin Idris Shah.
Nie Ching ketika dihubungi :Sinar Harian: berkata, surat amaran yang diterima melalui faks menjelaskan sekiranya mahu memasuki ruang solat, beliau perlu mendapatkan kebenaran Mais terlebih dahulu.
“Ya, saya sudah terima surat amaran itu pada pukul 1.30 tengah hari kelmarin.
“Dalam surat itu mengatakan bahawa saya dilarang memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor tanpa kebenaran Mais terlebih dahulu,” katanya.
Ahli Parlimen DAP itu berkata, beliau akan mengambil peringatan daripada surat tersebut dan akan merujuk kepada Mais terlebih dahulu sebelum ke masjid dan surau.
“Sudah tentu saya akan ambil peringatan, ini adalah titah Sultan Selangor. Saya kena patuh kepada titah Sultan Selangor kerana dalam surat itu Mais kata ia adalah titah daripada Sultan Selangor,” katanya.
Nie Ching sebelum ini dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.
Tindakan Nie Ching menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Mais menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.
Namun, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo.
Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.
-Sinar Harian
|
|
Azmin Ada 'Kunci' Rahsia Anwar |
|
Ditulis oleh admin
|
|
Jumaat, 03 September 2010 03:54 |
|
KUALA LUMPUR, 2 Sept. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali didakwa mempunyai 'kunci' ke atas segala rahsia utama ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah mendakwa, 'kunci' itulah yang menjadi senjata utama kepada Azmin untuk mendapatkan apa sahaja yang diingininya tanpa dapat dihalang oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Aminah bagaimanapun enggan mendedahkan apa yang dimaksudkan dengan rahsia utama itu kerana yakin ia merupakan sesuatu yang sedia diketahui oleh pihak-pihak berkenaan.
Kini katanya, menjadi kewajipan kepada mereka itu untuk menjelaskannya kepada rakyat.
"Bagi saya memang tidak menghairankan mengapa Anwar dan Wan Azizah tidak dapat memberi penjelasan apabila ditanya mengapa Azmin diberi layanan istimewa dan apa yang Azmin mahu dia akan dapat.
"Ini berlaku kerana Azmin pegang semua rahsia Anwar. Rahsia ini yang memberi kuasa besar pada Azmin ke atas Anwar dan Wan Azizah. Saya yakin satu hari nanti rahsia ini akan terbongkar jua," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Aminah mengulas gesaan bekas rakan baik Penasihat PKR tersebut, Datuk S. Nallakarupan yang mencabar Anwar memberikan penjelasan berhubung kedudukan terlalu istimewa yang dinikmati oleh Azmin selama ini.
Azmin selaku Naib Presiden PKR baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan lantikan itu membuktikan kedudukan istimewa Azmin kepada Anwar.
Bagaimanapun sehingga kini cabaran oleh Nallakarupan itu langsung tidak dijawab oleh pasangan suami isteri tersebut.
Selain Nallakarupan, bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak turut meminta pasangan itu menjelaskan perkara sama tetapi langsung tidak diendahkan oleh mereka berdua.
Tegas Saidatul Badru, Wan Azizah amat perlu membersihkan dirinya daripada terus digelar sebagai 'presiden boneka'.
Sementara itu, Aminah berkata, beliau amat berharap agar Anwar, Wan Azizah dan Azmin menghayati matlamat dan hala tuju parti yang diasaskan oleh pejuang reformasi tulen sebelum ini tetapi secara tidak amanah telah dipesongkan oleh mereka.
Jelas beliau, itu antara sebab utama mengapa ramai ahli termasuk di kalangan pimpinan PKR bertindak keluar parti.
Katanya, ini kerana mereka ini yang mempunyai maruah dan prinsip perjuangan, tidak lagi sanggup diperkotak-katikkan oleh kepimpinan mempunyai agenda peribadi.
-Utusan Malaysia |
|
Hudud Tidak Semestinya Dilaksana – PAS |
|
Ditulis oleh admin
|
|
Jumaat, 03 September 2010 03:51 |
|
KOTA BHARU 2 Sept. – Pas mengakui hukum hudud tidak semestinya dilaksanakan sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan memerintah negara.
Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas dan parti-parti dalam pakatan pembangkang pada peringkat ini telah bersetuju untuk tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda perjuangan parti itu selama ini.
Malah, katanya, Pas dan rakan-rakannya dalam pakatan itu juga tidak akan ‘mengusik’ kerangka Perlembagaan Persekutuan walaupun ada pandangan yang mengatakan ia perlu dipinda sekiranya Pas hendak melaksanakan syariat Islam.
“Tidak semestinya kita akan laksanakan, kita melihat kepada persediaan dan persetujuan masyarakat.
“Kita ada persetujuan untuk peringkat ini kita tidak bincangkan soal hudud. Misi kita yang utama ialah untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya.
“Bagi kita secara personalnya, perjuangan kita adalah untuk menegakkan syiar (Islam), tetapi kita tidak akan memaksakan hasrat ini kepada masyarakat.
“Bila masyarakat sudah bersedia dengan penjelasan, kefahaman, pada masa itu kita akan laksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan yang pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.
Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk Pas terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan perlembagaan sedia ada.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.
Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa Pas tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan Negara.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Dakwah negeri berkata, cita-cita Pas untuk menegakkan syariat dan sebuah negara Islam tidak pernah berubah tetapi pelaksanaannya bergantung kepada persediaan masyarakat yang juga pengundi.
“Rakyat Malaysia iaitu pengundi, walaupun pilih Pakatan Rakyat tetapi mereka belum bersedia untuk menerima pelaksanaan (hukum hudud) kita tak jadi masalah.
“Selama ini kita bagi tahu nak laksanakan negara Islam pun bukan nak memaksa, tapi dilaksanakan dengan persetujuan pengundi, itu paling penting. Sebab, bila rakyat setuju soal perlembagaan sekular tak berbangkit dah,” katanya.
-Utusan Malaysia |
|
Perkara 153 : Siasatan Terhadap Nurul Izzah Ke Peguam Negara |
|
Ditulis oleh admin
|
|
Jumaat, 03 September 2010 03:43 |
|
KUALA LUMPUR - 2 Sept - Siasatan berhubung tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang mempersoal Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak istimewa Melayu akan disiapkan dengan segera.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, laporan polis mengenai perkara itu sudah dibuat dan siasatan rapi sedang dilakukan bagi memudahkan pihak Peguam Negara melakukan pendakwaan terhadap Nurul Izzah.
"Polis akan melengkapkan siasatan berhubung perkara ini sebelum ia diserahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan apa bentuk pendakwaan terhadap Nurul Izzah," katanya.
Beliau ditemui di majlis rakaman takbir raya bersama penagih di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik di sini, hari ini.
Hishammuddin mengulas mengenai tindakan ke atas Nurul Izzah di bawah Akta Hasutan ekoran tindakan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempersoal hak keistimewaan Melayu walaupun ia dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 153.
Nurul Izzah dalam artikel disiarkan portal berita propembangkang, Malaysian Insider Selasa lalu antara lain mendakwa, 'hak keistimewaan' orang Melayu tidak disebut sebaliknya Perkara 153 hanya menjelaskan mengenai 'kedudukan istimewa' masyarakat bumiputera.
Anak kepada ketua pembangkang itu juga mendakwa, hak Melayu hanyalah sekadar falsafah serta ideologi dan bukannya sebuah undang-undang atau Perlembagaan selain menegaskan agenda Melayu yang terkandung dalam Perkara 153 juga bersifat sementera.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kenyataan Nurul Izzah itu membuktikan pemimpin pembangkang tidak bertanggungjawab kerana secara terbuka mempersoalkan peruntukan itu walaupun Perlembagaan dengan jelas melarang sebarang perdebatan mengenainya atau berdepan dengan dakwaan di bawah Akta Hasutan jika ingkar.
"Nurul Izzah seorang wakil rakyat yang silap pertimbangan tetapi sebagai rakyat Malaysia yang diamanah untuk menjaga keselamatan dalam negeri, saya akan mengambil segala tindakan perlu tanpa memilih bulu bagi mengelakkan insiden seperti ini berlaku lagi," jelasnya.
"Kementerian ini akan sentiasa konsisten dan kita akan mengambil terhadap sesiapa sahaja yang bertindak menimbul keresahan rakyat membabitkan isu perkauman, agama dan perkara-perkara yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.
Mengenai tindakan terhadap Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, Hishammuddin berkata, semua pihak tidak perlu menangguk di air keruh dengan cuba membangkitkan api perkauman di negara ini.
Katanya, polis sudah memulakan siasatan dan semua pihak perlu menaruh keyakinan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang sedia ada dalam negara.
"Orang ramai kena faham, benda-benda macam ini memerlukan masa tetapi bukan bermakna kita melengah-lengahkan siasatan dan tindakan. Ada kala, kita boleh menyelesaikan kes itu dengan cepat tetapi dalam kes tertentu mungkin terpaksa ambil sedikit masa," ujarnya.
-Utusan Malaysia |
|
|