Isnin, 06 September 2010
TG Dato' Dr Haron Din Jalani Pembedahan Jantung
Ditulis oleh admin   
Selasa, 31 Ogos 2010 04:36

ustharon_4905
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Timbalan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din telah berlepas ke California, Amerika Syarikat pada 28hb Ogos kelmarin untuk menjalani pembedahan jantung. Beliau ditemani oleh isteri dan anak-anaknya sepanjang pemergian beliau di sana.

Ini merupakan pembedahan jantung yang kelima baginya. Kali terakhir beliau menjalaninya kira-kira 10 tahun yang lalu.

Pembedahan jantung tersebut akan diadakan di Stanford University Hospital, San Francisco, California. Dato’ Dr Haron Din terpaksa menjalankan pembedahan di sana kerana pihak Institut Jantung Negara tidak ada kepakaran khusus untuk melakukannya disebabkan komplikasi permasalahan jantung yang beliau alami.ustharon_4918

Menurut maklumat yang diberikan oleh pihak Dato’, beliau akan menjalani prosedur koronari angiogram yang akan disusuli dengan koronari angioplasti dan berkemungkinan akan menjalani pembedahan jantung pada hari Selasa, 31 Ogos.ustharon_4930

Di KLIA, beliau diiringi oleh Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa bersama isteri dan kira-kira 500 orang yang memberikan sokongan moral dan doa kepada Dato’ Dr Haron Din. -ANN

 
Perutusan Ramadhan Perdana Menteri Malaysia
Ditulis oleh admin   
Isnin, 23 Ogos 2010 03:27
najramadhanAssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia,
 
Pertamanya, kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita meraikan bulan Ramadhan pada tahun ini dalam keadaan harmoni dan penuh kerahmatan.
 Sesungguhnya, Ramadhan merupakan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam. Pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub di dalam Al-Quran, surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :-     
                
“Bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, sesiapa antara kamu hadir pada bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu...”
 
Ramadhan merupakan penghulu semua bulan dan ia juga menjadi bulan keberkatan dan bulan untuk umat Islam berpuasa sebagai ketundukan dan ketaatan kepada Allah s.w.t. 
 
 Di dalam bulan Ramadhan juga telah berlaku beberapa peristiwa dan kejayaan penting yang dilakarkan oleh umat Islam untuk menunjukkan kepada kita betapa bulan Ramadhan menyimpan keberkatan dan kehebatannya yang tersendiri serta mampu memberi impak dan menginsafkan hati setiap muslim yang prihatin. 
 
 Di antara peristiwa tersebut ialah peperangan Badar, Khandaq, Tabuk, pembukaan kota Mekah dan kemuncak dari itu ialah penurunan Al-Quran yang menjadi sumber hidayah dan petunjuk kepada umat Islam untuk sepanjang zaman.
Sesungguhnya peperangan Badar dan perang Khandaq yang berlaku di dalam bulan Ramadhan ini merupakan manifestasi kemenangan tentera Islam terhadap tentera Quraisy berlandaskan perancangan strategik, kreativiti dan daya inovasi yang dicetus oleh Rasulullah s.a.w. serta para sahabat.
Hakikatnya, Allah s.w.t. telah memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya kreativiti dan perancangan yang strategik dalam menentukan sesebuah kejayaan.
Menyedari kepentingan itu, maka negara kita juga telah meletakkan beberapa perancangan strategik dan misi besar untuk memajukan dan memakmurkan negara.
 
Bagi mentransformasi dan membina negara bangsa, selain Gagasan 1Malaysia dengan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, kita janakan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) berinovasikan Model Baru Ekonomi (MBE) dan bermatlamatkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan Wawasan 2020.
 
Semua perancangan ini akan memastikan negara mencapai keharmonian perpaduan nasional dan melonjak prestasi ekonomi yang stabil serta mencapai negara yang berkompetitif dan berpendapatan tinggi.
 
Bulan Ramadhan juga memperlihatkan beberapa peristiwa agung seperti malam Lailatulqadar yang bermaksud pengagungan menurut pendapat sebahagian ulama’. Lailatulqadar ini bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan Al-Quran pada malam itu, turunnya para malaikat, melimpahya rahmat dan keampunan Allah s.w.t. dan akan dianugerahkan keagungan serta kemuliaan kepada mereka yang beribadat pada malam itu.
 
Justeru, kita hendaklah melipatgandakan amal ibadat, memperbanyakkan sedekah dan bermurah hati serta mengeluarkan zakat fitrah di bulan Ramadhan ini.
 
Para peniaga pula dilarang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya pada bulan ini demi kepentingan umat Islam yang berpuasa. 
 
Di samping itu, saya ingin mengingatkan agar kita tidak melakukan pembaziran dan belanjalah secara berhemah pada bulan ini terutamanya sebelum tiba Syawal nanti. Ini bagi mengelakkan kita dari menanggung hutang dan kesusahan pada keluarga kita menjelang Aidilfitri kelak.
 
Sememangnya bulan Ramadhan ialah masa untuk umat Islam bermuhasabah diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Melalui ibadah puasa dari fajar hingga senja, umat Islam dilatih mempertingkatkan disiplin diri agar lebih penyabar, pemurah, pengasih dan mengemas empati diri terhadap kesusahan orang lain. Sudah tentu ibadat puasa pada waktu siang tidak sempurna tanpa munajat dan zikir pada waktu malam.
 
Kita di Malaysia sudah tentu bernasib baik kerana dapat menjalani ibadat puasa dalam keadaan yang lebih tenang dan kurang cabaran getir. Keadaan di negara kita adalah amat berbeza dengan umat Islam di sesetengah negara yang kini sedang menderita kerana dibadai bencana alam, bergelut dalam krisis kemanusiaan serta terperangkap dalam zon peperangan sehingga sukar bagi mendapatkan makanan untuk berbuka mahupun bersahur. 
 
Ibadah puasa ini wajib dijalani oleh setiap individu yang berkelayakan. Selain membersihkan hati, puasa juga adalah terapi efektif memulihara kesihatan diri. Justeru, peluang pembaikan diri dan hati ini wajar direbut oleh setiap individu Muslim.
 
Oleh itu, Ramadhan ini adalah peluang terbaik untuk kita merukuni perpaduan 1Ummah melalui keunikan kepelbagaian kaum dan agama demi 1bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu padu.
 
Akhirul kalam, saya dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam Malaysia di mana jua berada. Marilah kita bersama-sama meraikan dan mengimarahkan Ramadhan ini bersama rakan kita dari pelbagai bangsa melalui kerukunan muhibbah beriltizamkan perpaduan 1Malaysia 1Ummah. Insya-Allah.
 

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 
Pemuda PAS Sedia Terang Hukum Hudud
Ditulis oleh admin   
Isnin, 23 Ogos 2010 02:27

tan2viKUALA LUMPUR, 23 Ogos - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menawarkan diri untuk bertemu sesiapa sahaja terutamanya Lim Kit Siang dan Karpal Singh bagi menerangkan intipati hukum hudud atau Syariat Islam sebagai satu alternatif bagi membendung gejala sosial yang membarah pada hari ini.

Dalam kenyataannya pada hari ini, beliau menyatakan bahawa Syariat Islam mempunyai pakej yang komprehensif iaitu, pendidikan, pembinaan minda dan peribadi, pencegahan atau kawalan, pemantauan, alternatif dan hukuman setimpal.

Beliau juga mendakwa Lim Guan Eng telah mengambil Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai contoh ikutan terbaik baginya. Sambil menerangkan bahawa pemerintahan khalifah tersebut adalah berasaskan kepada keadilan, kesaksamaan dan ketelusan dalam pentadbirannya. Oleh sebab itu, tiada sebab pemimpin DAP menolak prinsip pelaksanaan syariat Islam itu.

Mengupas mengenai pertembungan pendapat antara Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, beliau berkata bahawa cadangan hukuman bunuh terhadap perogol kanak-kanak sepertimana yang dicadangkan oleh Karpal adalah lebih berat daripada undang-undang Islam. 

DPPP berpendapat bahawa undang-undang yang diamalkan oleh negara lebih 50 tahun ini terbuka kepada 1001 kelemahan dan sudah sampai masanya undang-undang Islam dilaksanakan. -ANN  

 
Tazkirah Ramadhan Presiden PAS
Ditulis oleh admin   
Isnin, 16 Ogos 2010 01:53

hajihadiumrah
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Bulan Ramadhan yang telah diturunkan padanya Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia, keterangan-keterangan daripada petunjuk, dan membezakan perkara yang betul dan yang salah".

Ramadhan bukan sahaja bulan untuk mengerjakan ibadah puasa yang menjadi kewajipan kepada umat Islam malah adalah perlu bagi umat Islam itu sendiri menghayati hikmah dan kelebihan yang terdapat padanya. Puasa merupakan tarbiah secara langsung dari Allah untuk mendidik manusia menjadi orang yang bertakwa dengan mengikut segala saranan dan meninggalkan segala larangannya.

Adalah menjadi hikmah yang sangat besar apabila Allah memilih Al-Qur'an untuk diturunkan pada bulan Ramadhan. Ini kerana Al-Quran merupakan Kalam Allah, ucapan, arahan, peraturan dan petunjuk yang mengajar manusia apa yang memberi kebaikan kepada mereka di dunia dan di akhirat. Mengajar mereka mengatur hidup, bukan sahaja hubungan dengan Allah tetapi juga hubungannya dengan makhluk yang ada di bumi.

Selain itu, mereka juga diberi peranan untuk mentadbir makhluk yang ada di bumi. Mereka perlu mempunyai kepatuhan dengan tiada pilihan, semua yang disuruh adalah baik dan begitu juga sebaliknya. Ibadah puasa yang mengajar mereka meninggalkan makan minum dan kepuasan hawa nafsu walaupun dihalalkan di siang hari pada bulan yang lain tetapi diharamkan pada bulan Ramadhan.

Pengajaran kepatuhan kepada  Allah sehingga bersedia untuk meninggalkan kepada perkara yang perlu dan penting kepada mereka demi mematuhi perintah Allah sehingga sanggup mengabdikan diri kepada Allah. Oleh kerana kepatuhan ini, mereka juga perlu mematuhi Al-Quran yang membawa kebaikan kepada mereka samada di dunia mahupun akhirat.

Bulan Ramadhan merupakan bulan pertimbangan di antara benar dan salah, kemenangan kepada yang benar, antara adil dan zalim, maka kemenangan kepada yang adil, antara taat dan maksiat, maka kemenangan kepada yang taat.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam sebelum beliau berangkat untuk menunaikan umrah. -ANN